Pornografi di Malaysia

Tulisan ini dipetik dari Berita Minggu 12 Oktober 2008 bersamaan 12 Syawal 1429H. Tulisan yang sama boleh dibaca secara online melalui berita harian Online di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20081012090908/Article/index_html
Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada semua.
Laman web lucah mudah dilayari
Oleh Mohd Azis Ngah
Pengendali mendapat keuntungan beratus-ratus ribu ringgit sebulan menerusi caj serendah 15 sen sehariSEORANG pembaca Berita Minggu terkejut menerima jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa daripada 25 laman web lucah yang sangat popular terutama di kalangan remaja hanya dua yang boleh disekat. Selebihnya tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyekat atau menutup laman web berkenaan.
Khairul Amir yang bimbang dengan perkembangan laman web lucah di negara ini membuat aduan itu kepada SKMM dan menerima jawapan yang mengejutkannya kerana laman web lucah itu bukan saja bebas beroperasi di negara malah mengaut keuntungan besar. Pengendali laman web pula dikatakan mampu mengelak undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang longgar dan pemeriksaan pengawasan pula hanya dijalankan secara rambang serta berdasarkan aduan. Katanya, mengikut jawapan SKMM atas aduannya itu, dua lagi laman web disifatkan tidak mempunyai kandungan bercanggah dengan peruntukkan AKM 1998 dan tiada tindakan akan diambil.
Tinjauan mendapati, laman web itu jelas memaparkan gambar ghairah gadis kebanyakan rakyat tempatan serta cerita seks. Sembilan daripada 25 laman web itu pula didapati berpangkalan di luar negara dan tiada sebarang tindakan boleh dikenakan. Tujuh lagi laman web tidak melanggar kehendak seksyen 211, AKM 1998 selepas didapati pengunjung perlu mendaftar secara sukarela dan menerima pelawaan daripada pengendali web manakala tiga laman web lain meletakkan syarat tertentu kepada pengunjung sebelum dibenarkan melayari kandungannya. Pengendali laman web mendapat keuntungan beratus-ratus ribu ringgit sebulan menerusi caj serendah 15 sen sehari. Mereka menyediakan bahan lucah yang membolehkan pengunjung memuat turun dan menonton selain membaca cerita seks. Bayaran 15 sen yang dikenakan oleh sebuah laman web itu bagi pengunjung mendapatkan akses menonton semua kandungan web. Berita Minggu mendapati, satu daripada web itu mempunyai 4,565 ahli berdaftar tidak termasuk pelawat biasa.
Jika angka itu diambil purata sehari, pengendali web mampu meraih keuntungan lebih RM20,000 sebulan dengan pendapatan RM675 sehari. Kepada pengunjung baru, mereka tetap diberikan akses percuma untuk beberapa klip video sebelum diminta membayar yuran untuk peringkat seterusnya. Terdapat laman web yang cuma memerlukan pengunjung mendaftar alamat emel sebagai syarat pendaftaran ahli baru. Ada juga yang meminta ahli mengekalkan keahlian dengan syarat mesti menjadi penyumbang bahan lucah termasuk ada yang menggadai ‘koleksi peribadi’ untuk mengelakkan keahlian.
Mengulas situasi itu, jurucakap SKMM berkata, disebabkan terlalu banyak laman web yang boleh dilayari, sukar bagi mereka memantau secara terperinci dan hanya bertindak berdasarkan aduan dan pemantauan rambang. “Walaupun AKM 1998 tidak membenarkan penapisan internet, kita masih boleh bertindak mengikut Seksyen 211 atau 233 ke atas web mengandungi isu kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu. “Tetapi disebabkan kita tidak dibenarkan menapis internet, maka penggunaan perisian penapisan di laluan masuk (gateway) oleh pihak pemberi perkhidmatan internet (ISP) tidak boleh dijalankan seperti di Arab Saudi dan China,” katanya.
Berhubung 25 aduan berkenaan, katanya satu daripadanya sudah diarah tutup sementara manakala satu lagi dikategorikan tidak aktif termasuk kemungkinan ditutup pemiliknya. Katanya, penilaian kandungan laman web sama ada berbentuk sumbang, lucah, palsu atau jelik adalah sangat subjektif. Mengikut Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, tafsiran lucah ialah sekiranya boleh menimbulkan rasa jijik kerana gambarannya memberahikan dan menyinggung tanggapan adab berhubung kesopanan dan kehormatan. Ujian kelucahan juga dinilai dengan melihat kepada kandungan itu mempunyai kecenderungan merosakkan pemikiran sesiapa yang terdedah kepada komunikasi berkenaan dengan memberi perhatian kepada adegan seks terlampau atau pornografi, pornografi kanak-kanak dan penghinaan seksual.
Mengenai caj bayaran dikenakan untuk melayari web, katanya, ia jelas melanggar peraturan mengikut Seksyen 233 (2) (a) kerana memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial. Bagaimanapun, bayaran itu tidak dikawal selia dan ia juga tidak boleh dikaitkan sama ada web itu sah atau tidak.
INFO:
Laman web yang disiasat, sudah disiasat dan sudah dikenakan tindakan (68 kes).
25 kes : Tindakan Penguatkuasaan di bawah AKM 1998
38 kes: Ditutup (termasuk tiada perlanggaran AKM 1998, di luar bidang kuasa SKMM dan kandungan ditarikbalik)
5 : Dalam Siasatan
Aduan yang diterima SKMM:
Januari – Mac 2008 : 628 (lain-lain perkara) dan 13 (laman web)
April – Jun 2008: 1,076 (lain-lain perkara) dan 35 (laman web)
2007: 2,147 (lain-lain perkara) dan 30 (laman web)
Jumlah laman web lucah: Berdasarkan laman web internet-filter-review pada 2006.
4.2 juta web lucah
Bersamaan 12 peratus daripada keseluruhan laman di internet.
Tindakan:
Peruntukkan Seksyen 211 dan 233 AKM 1998: denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah.
Remaja mudah ketagih seks
REMAJA melepasi tahap umur ‘akil baligh’ adalah golongan paling ramai melayari laman web lucah dan menjadi sasaran paling mudah disebabkan ‘ledakan perasaan’ yang cenderung kepada perlakuan seksual. Perubahan tahap umur itu mendorong kepada keinginan kuat mengikut kehendak nafsu apatah lagi jika menonton video, melihat gambar lucah atau membaca artikel seks.
Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), berkata terlalu banyak kesan negatif jika membiarkan remaja melayari internet tanpa pengawasan yang mendorong mereka melayari laman web lucah. “Remaja akil baligh cukup mudah naik nafsu syahwat terutama apabila melihat bahan lucah, mereka juga sudah tahu apa itu hubungan seks. Perubahan itu akan mencapai kemuncak jika wujud pergaulan tanpa batasan dan ketagihan seks.
“Banyak kes rogol bawah umur berlaku antara kenalan, rakan, pasangan kekasih disebabkan mereka tidak mempedulikan larangan agama dan undang-undang. Apa yang mereka fikirkan hanya untuk berseronok disebabkan wujudnya ‘pencetus’ iaitu bahan lucah. “Jika tidak terdedah kepada anasir tidak sihat ini, masalah sosial itu tidak akan berlaku,” katanya.
Bagi sesetengah remaja berniat jahat, mereka sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehendak nafsu termasuk meletakkan pil khayal ke dalam minuman teman wanita atau kenalan sebelum merogol mangsa. Dr Mariani berkata, aktiviti itu akan memberi kesan langsung kepada remaja yang masih bersekolah, mereka akan mengabaikan mata pelajaran, pencapaian akademik merosot, keruntuhan moral serta hubungan renggang dengan keluarga.
“Apabila sudah terjerumus, tentu ibu bapa akan marah tanpa menyedari apa sebenarnya dilalui anak-anak. Akan timbul juga masalah apabila keluarga terlalu mengawasi anak-anak di rumah, mereka akan mencari jalan melayari internet di luar rumah disebabkan ketagihan,” katanya. Faktor bayaran serendah 15 sen sebagai yuran melayari laman web juga mendorong ketagihan dan Mariani percaya kegiatan itu mensasarkan kepada remaja daripada keluarga berpendapatan sederhana ke bawah yang dilihat lebih daripada mampu untuk menjelaskan kadar bayaran berkenaan. Katanya, dengan kadar bayaran itu, sesiapa saja mampu melayari laman web lucah dan tidak mustahil ada antaranya sanggup menyimpan wang saku ke sekolah kerana mahu menghabiskan masa melayari web itu.
“Semua ini membuktikan capaian internet cukup mudah, kanak-kanak juga boleh melakukannya. Apa yang kita saksikan sekarang ialah runtuhnya moral masyarakat kini, kes gugurkan kandungan, buang bayi berleluasa,” katanya. Faktor tiada penguatkuasaan konkrit, tiada pegangan agama serta wujudnya peluang serta pilihan yang banyak dan murah untuk mendapatkan bahan lucah kini menjadikan kegiatan itu menguntungkan satu pihak, pada masa sama meruntuhkan institusi masyarakat.
Pengendali web lucah tidak terlepas tindakan BENARKAH pengendali laman web lucah boleh berselindung di sebalik terma ‘persetujuan pengunjung’ untuk mengelak dikenakan tindakan? Seorang peguam, Abu Backer Sidek berkata sebenarnya pengendali berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana jelas bertentangan dengan tujuan penubuhan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu menjamin perkembangan sihat. Berdasarkan peruntukkan seksyen 211, AKM 1998, membawa maksud mengekal, menjamin perkembangan sihat dalam dunia siber, kegiatan menghantar atau menyebar bahan lucah adalah bertentangan dengan nilai moral.
Katanya, AKM 1998 menjelaskan maksud sesiapa yang menghantar, menyebar bahan lucah di internet boleh dikenakan tindakan walaupun mereka menggunakan alasan ada kerelaan pengunjung web. Sebelum ini, banyak pihak mempersoalkan AKM 1998 yang dilihat longgar dalam mengawal perkembangan penyebaran bahan lucah berikutan terlalu banyak laman web lucah berpangkalan di dalam dan luar negara yang boleh diakses secara mudah.
Pengendali laman web itu berselindung di sebalik ‘persetujuan pengunjung’ yang mematuhi terma ditetapkan, secara sukarela walaupun ada yang mengenakan bayaran. Taktik itu membolehkan mereka mengelak daripada tindakan kerana ia dilakukan tanpa paksaan dan bersyarat. “Sudah tentu ia bertentangan dengan tujuan menjamin perkembangan sihat. Adakah penyebaran bahan lucah dikatakan perkembangan sihat?…. sudah tentu tidak dan ia bertentangan dengan nilai moral. Jadi, seksyen 211 AKM 1998 boleh digunakan dalam hal ini. “Jika pengendali berselindung di sebalik faktor kerelaan pengunjung, ia sebenarnya cuma ‘tiket’ rayuan untuk mengurangkan hukuman. Walaupun akta itu bukan bertujuan menyekat, ia masih boleh dikuatkuasakan bertujuan mengawal perkembangan tidak sihat,” kata Abu Backer.
Mengikut seksyen itu, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 dan penjara maksimum setahun atau kedua-duanya. Abu Backer berkata, memang diakui kerajaan memberi jaminan untuk tidak menapis internet mengikut Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees) yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan syarikat berkaitan MSC di negara ini. Namun katanya, AKM 1998 adalah akta berkenaan undang-undang siber yang dibentuk sebagai satu rangka kerja bagi campur tangan kerajaan dalam memantau industri berkenaan yang mencakupi ruang lingkup kegiatan dunia siber. Katanya pengawalan mesti datang daripada kerajaan dan ditingkatkan daripada semasa ke semasa terutama ke atas laman web yang berpangkalan di dalam negara. Bagaimanapun, beliau mengaku kebanyakan laman web itu berpangkalan di luar negara dan ia sukar ditapis kerana melangkaui sempadan kuasa serta perlu diteliti mengikut peruntukan yang boleh digunakan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s