Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Media


Dipetik dari Berita harian, Rabu 29 Oktober 2008. Boleh dibaca secara online melalui http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20081029003710/Article/
Mentadbir media lebih telus, bertanggungjawab

Oleh Prof Dr Mohd Safar Hasim

Hasimrencanabh@bharian.com.my

Penubuhan sebuah kementerian khusus tangani media dan komunikasi amat diperlukan
MENTERI Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini menyatakan kerajaan sedang melihat bagaimana hendak mentadbir media supaya ia lebih telus dan bertanggungjawab. Oleh itu, beliau ingin berbincang lebih lanjut mengenai penubuhan sebuah suruhanjaya media untuk menangani hal ehwal media di negara ini.
Ahmad Shabery mengulas cadangan saya di Kolokuim AIDCOM di Kuala Lumpur pada 20 Oktober lalu. Dalam satu syarahan pada 2004, saya pernah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Media Malaysia, sebagai kembar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK).

Saya membangkitkan isu ini sekali lagi dalam Kolokium AIDCOM dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam ucapan dasarnya turut menyentuh mengenai dasar media nasional dan pembentukan Majlis Media Nasional. Sebenarnya, ada perbezaan dalam cadangan untuk menubuhkan Majlis Media dan pembentukan Suruhanjaya Media. Pada 2001, Institut Akhbar Malaysia (IAM) mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menubuhkan Majlis Media berikutan permintaan kerajaan selepas sekumpulan wartawan mengemukakan satu memorandum. Seperti biasa cadangan seperti itu dikemukakan kepada agensi tertentu, tetapi tidak sampai kepada kerajaan. Kalangan wartawan tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mereka melihat Majlis Akhbar sebagai satu bentuk kawalan.
Majlis Media Nasional yang diumumkan Syed Hamid dijangka menjadi sebuah majlis statutori yang diluluskan oleh Parlimen, tetapi ditadbir sebagai sebuah badan kawal selia sendiri. Majlis Media ini berkemungkinan diletakkan di bawah IAM. Untuk mengelak kekeliruan, biar saya perkembangkan idea Suruhanjaya Media ini. Di bawah konsep awal, Suruhanjaya Media ini akan mengambilalih fungsi penyeliaan akhbar dan undang-undang di Kementerian Dalam Negeri (KDN). Suruhanjaya ini akan mentadbir undang-undang akhbar yang diharap dapat dipinda peruntukan mengenai pelesenan dan permit penerbitan. Suruhanjaya ini dicadang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai permulaan selama 10 tahun. Selepas itu, ia dikaji semula ke arah kawal selia sendiri. Di bawah suruhanjaya ini, diwujudkan Majlis Media atau Ombudsman. Di bawah Suruhanjaya Media ini, syarikat akhbar boleh ditubuhkan dengan lebih bebas.
Secara idealnya, semua media termasuk media cetak patut diletakkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Bagaimanapun, oleh kerana sejarah, pengawasan akhbar diletakkan di bawah KDN, manakala penyiaran dan penerangan diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Ini menjejaskan langkah yang diambil kemudian seperti penubuhan KTAK. Pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya dalam Jun 1948 memperlihatkan pengenalan semula Ordinan Mesin Cetak 1948 (yang pertama kali diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat pada 1920 dan di negeri Melayu beberapa tahun kemudian) dan Ordinan Hasutan 1948. Akhbar terletak di bawah Ordinan Mesin Cetak.
Kedua-dua undang-undang ini dilihat sebagai undang-undang keselamatan untuk mengawal akhbar daripada digunakan komunis dan organisasi hadapannya dan dengan demikian diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Pada awal Darurat Malaya, kerajaan menggunakan radio dan filem sebagai alat propaganda untuk memenangi hati dan fikiran rakyat. Radio, filem dan penerangan kemudian menjadi jabatan kerajaan. Apabila KTAK ditubuhkan, sebahagian daripada kuasa di bawah Kementerian Penerangan dipindahkan ke Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Pada waktu darurat, adalah berpatutan untuk melihat akhbar sebagai suatu perkara keselamatan dan diletakkan di bawah KDN, tetapi 60 tahun sudah berlalu, pemberontakan komunis sudah berakhir dengan termeterai Perjanjian Damai pada 1989. Sepatutnya, wujud perubahan besar melihat akhbar dalam paradigma lama keselamatan kepada satu paradigma baru bukan keselamatan untuk tujuan pembangunan negara. Pada masa sama, patut ada semakan terhadap KTAK. Jelas sekali, tenaga, air dan komunikasi dilihat sebagai komoditi dalam membentuk kementerian itu. Komunikasi tidak harus dilihat sebagai komoditi. Saya percaya komunikasi tidak sesuai diletakkan sama dengan tenaga dan air.
Melihat komunikasi daripada perspektif komoditi menjejaskan bagaimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangani pelbagai aduan mengenai industri penyiaran. Pada masa ini, sekurang-kurangnya empat kementerian terbabit dalam industri media, komunikasi dan personel media iaitu KDN (akhbar), Kementerian Penerangan (akreditasi akhbar), KTAK (pelesenan multimedia, syarikat telekomunikasi dan sebagainya), Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Finas dan lain-lain).
Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan penubuhan sebuah kementerian khusus untuk menangani media dan komunikasi di negara ini. Kementerian ini boleh dinamakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Kementerian baru ini patut memasukkan komponen akhbar (termasuk undang-undang) dari KDN, komponen komunikasi dari KTAK dan komponen penerangan dari Kementerian Penerangan. Finas dan agensi berkaitan patut dimasukkan juga di bawah kementerian baru ini. Kementerian baru ini akan lebih berupaya untuk menguruskan soal penerangan dan komunikasi serta mempunyai lebih kefahaman kemanusiaan (berbanding komoditi).
Pada masa lalu, ada perbincangan untuk mengkorporatkan Jabatan Penyiaran. Adalah tidak sesuai untuk meletakkan Jabatan Penyiaran sebagai pe
laksana di bawah kementerian baru ini. Oleh itu, ia patut diasing dan diwujudkan sebagai sebuah badan seperti BBC. Suruhanjaya Media yang dicadangkan lebih awal, dibuat di atas kepercayaan bahawa penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia adalah sesuatu yang muktamad. Oleh itu, dicadangkan supaya industri media mempunyai sebuah suruhanjaya sendiri.
Dari segi pelaksanaannya, kita tidak perlu melihat jauh kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia boleh dijadikan contoh. Ia adalah sebuah badan statutori yang mempunyai badan kawal selia sendiri, iaitu forum kandungan. Jika diwujudkan berasingan, Suruhanjaya Media patut mempunyai forum kandungannya sendiri. Bagaimanapun, adalah satu pilihan yang lebih baik untuk mewujudkan sebuah Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau sebarang nama lain, yang komposisinya seperti disebut sebelum ini. Suruhanjaya Media boleh diserap di dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, manakala sebahagian daripada fungsi Majlis Media boleh diserapkan di dalam forum kandungan.
Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s