Pendapat mahasiswa

di petik daripada pendapat mahasiswa dalam Kosmo yang boleh disurf di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt;=0729&pub;=Kosmo&sec;=Akademi&pg;=ak_04.htm

Kredibiliti sebagai blogger
Mohd Aliff mohd Nor,
UIAM

Blogger seharusnya memiliki etika yang betul, menyampaikan apa yang benar, bersedia menerima dan menjawab kritikan serta tidak memihak kepada mana-mana individu.

DEWASA ini, kemudahan Internet telah membawa kepada kewujudan weblog ataupun lebih dikenali sebagai blog.

Blog ialah sebuah laman web. Ia dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya tanpa perlu menguasai pengetahuan teknikal yang mendalam.

Dalam erti kata lain, blog ialah sebuah laman web yang mudah dibina, dikemaskini, bersifat interaktif dan boleh dimulakan tanpa sebarang bayaran pendahuluan.

Berbanding membangunkan sebuah laman web, sedikit modal perlu dikeluarkan untuk membayar hosting.

Ada yang berpendapat laman web agak sukar untuk membentuk kumpulan pelawat yang aktif berinteraksi di alam siber.

Hakikatnya, tujuan utama sebuah blog dibangunkan adalah untuk mencipta komuniti siber supaya berlaku pertukaran idea dan dapat berinteraksi antara pengendali blog dan pelawat siber.

Blog merupakan alam baru yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja yang bijak mengaplikasikan teknologi Internet. Di Malaysia sahaja, terdapat lebih 600,000 blog yang aktif.

Pelbagai faedah yang boleh diperoleh seandainya seseorang itu bijak memanfaatkan blog. Melalui blog, seseorang boleh menghantar profail diri, pendapat, idea, berita terkini, gambar atau produk yang akan menarik perhatian pembaca.

Menerusi blog peribadi, seseorang boleh meluahkan perasaan mereka untuk dikongsi bersama pelawat siber. Ia menjadi diari maya yang mencatatkan perjalanan hidup mereka.

Sebagai contoh, pelakon terkenal Afdlin Shauki menggunakan blog untuk menceritakan kisah hidup beliau bukan sahaja untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dan peminat seni tanah air, tetapi blog ini juga digunakan untuk mempromosikan filem beliau.

Adalah suatu pembohongan jika kita menganggap blog tidak boleh membuat duit. Sebenarnya, ramai blogger menerima cek lumayan daripada Google. Malah, semakin ramai pengurus daripada syarikat terkemuka terjun ke dunia blog.

Muzaffar Mustapha menerima tawaran untuk berkhidmat bersama ASTRO setelah tiga musim beliau menjadi pengkritik bebas Akademi Fantasia melalui blog. Di samping itu, beliau dipilih untuk membangunkan laman web rasmi teater agung, Puteri Gunung Ledang The Musical. Kejayaan beliau bermula dengan blog.

PENGENDALI blog harus bertanggungjawab dengan kenyataan, maklumat dan kritikan yang mereka salurkan dalam laman blog mereka.

Kandungan blog yang bebas membolehkan sesiapa sahaja meletakkan apa sahaja yang mereka mahu. Di sinilah, titik permulaan keburukan blog bermula.

Pengisian blog yang sedikit menyimpang dan berunsur fitnah mampu mengheret seseorang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Kes Raja Petra Raja Kamaruddin dan Syed Akbar Ali, blogger yang didakwa baru-baru ini menjadi contoh kepada semua bahawa blogger ataupun pengendali blog tidak kebal daripada undang-undang.

Beberapa tahun lalu, dunia digemparkan dengan lukisan seorang kartunis Denmark yang melukis kartun mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w yang membawa kepada rusuhan sehingga memaksa pemimpin Denmark meminta pemimpin-pemimpin Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) meredakan ketegangan tersebut.

Lukisan tersebut telah digunakan oleh beberapa buah blog yang memusuhi Islam bertujuan untuk menyemarakkan lagi kemarahan umat Islam.

Pengajaran daripada kedua-dua buah cerita ini ialah setiap orang mempunyai kebebasan untuk bersuara, tetapi ia harus tidak menyentuh sensitiviti dan hak asasi orang lain sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

Blogger seharusnya memiliki etika yang baik bagi meningkatkan kredibiliti mereka. Mereka sepatutnya menyampaikan apa yang benar, bersedia menerima dan menjawab kritikan, tidak sepatutnya memihak kepada mana-mana individu bagi mencapai agenda tersendiri, adil dan tidak melakukan plagiat.

Beberapa bulan yang lalu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, pihak UiTM bersedia untuk mengesyorkan kursus pengajian blog sebagai salah satu mata pelajaran yang akan diajar di universiti tersebut.

Cadangan sebegini amat baik dan ia wajar dijadikan platform bagi menjadikan blogger itu seorang yang beretika dan berada di landasan yang betul.

Pilihan Raya Umum yang ke-12 yang diadakan pada Mac lalu telah membuka mata semua pihak tentang keupayaan blog. Pemerhatian menunjukkan pengundi lebih tertarik kepada isi-isi pilihan raya yang dibawa oleh blogger-blogger berbanding yang disampaikan oleh media massa.

Dengan kewujudan teknologi tanpa sempadan, segelintir masyarakat menonjolkan pendirian mereka tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Kebaikan blog boleh diteroka kalau kita bijak menggunakannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s