Wujudkan Etika Blog?

Dipetik dari Utusan online yang boleh disurf di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt;=0529&pub;=Utusan_Malaysia&sec;=Rencana&pg;=re_02.htm

ARKIB : 29/05/2008

Media teras negara maju

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka ruang yang luas kepada orang ramai untuk mengikuti paparan laman-laman web dan blog tanpa sebarang batasan.
– Gambar hiasan

——————————————————————————–

INDUSTRI media di Malaysia berkembang dengan begitu pesat sejak dahulu lagi dan mempunyai peranan yang cukup luar biasa. Industri ini walaupun mempunyai kaitan orientasi ekonomi yang kuat, namun perlu dibezakan dengan industri lain memandangkan objektif utamanya ialah sebagai penyalur maklumat dan korpus ilmu, di samping medan penting penjanaan misi dan visi kerajaan kepada rakyat.

Hubungan media sebagai agen perubahan dan rakan negara dalam pembentukan masyarakat yang maju dalam segala disiplin cukup rapat serta merupakan teras kepada kekuatan politik dan demokrasi di negara kita.

Kebebasan bersuara sangat berkait rapat dengan industri media di negara kita. Namun hak tersebut tidak boleh dijadikan alasan atau lesen besar untuk merosakkan reputasi dan harga diri seseorang atau menghina kepercayaan dan agama lain termasuk agama Islam.

Kebebasan bersuara sememangnya adalah hak asasi setiap individu tetapi ia bukanlah sesuatu yang mutlak atau boleh dilakukan tanpa kawalan di mana hak menyampaikan sesuatu pandangan dan kritikan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan maruah seseorang, menabur fitnah atau mencemar simbol keagamaan orang lain.

Setiap negara termasuk Malaysia memerlukan undang-undang sebagai landasan untuk melindungi dan membela rakyatnya daripada sebarang dakwaan berunsur fitnah, penghinaan, tuduhan dan mempertahankan institusi terasnya daripada kenyataan berbentuk hasutan.

Jika kebebasan tanpa sekatan wujud dan dibiarkan begitu sahaja, bermakna tiada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang cuba menghasut, memfitnah, menimbulkan keganasan etnik dan sebagainya.

Media sebagai rakan kongsi strategik dan bijak bagi sesebuah kerajaan merupakan komponen terpenting dalam pembentukan negara bangsa dan pentadbiran yang terbaik serta mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik selagi berpegang kuat kepada nilai-nilai seperti ketepatan, kebijaksanaan dan kesaksamaan di samping terus berpegang kepada kesahihan fakta dan keadilan dalam laporan.

Oleh demikian, pengamal media tradisional dan media baru perlu memiliki pengetahuan, pengalaman serta kemahiran membezakan antara fakta, berita atau dakwaan tidak berasas.

Ini kerana tanggungjawab media sangat penting dalam membantu pembangunan serta kestabilan sesebuah negara.

Institusi media juga penyalur maklumat utama tidak boleh memandang ringan prinsip dan konsep keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita sehingga boleh mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara. Oleh demikian satu dasar yang boleh memantapkan penggunaan media perlu diperkenalkan memandangkan teknologi komunikasi baru ini mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik dan jentera kerajaan yang paling berkesan untuk menyampaikan hasrat dan perancangan kerajaan kepada rakyat.

SensasiSehubungan itu, semua pengamal media tempatan lebih beretika, konstruktif dan bertanggungjawab ketika melaporkan sesuatu isu terkini dan sensasi terutamanya berkaitan kenaikan harga minyak dan krisis kekurangan makanan yang sedang dialami.

Ini penting kerana pengamal media terutamanya golongan wartawan termasuklah penulis blog di negara kita berupaya menarik perhatian rakyat dan mempengaruhi fikiran dan emosi rakyat menerusi penulisan, penilaian, kritikan serta kajian yang dihasilkan oleh mereka.

Kredibiliti amat penting di kalangan pengamal media arus perdana dan media alternatif kerana ia akan menentukan penerimaan dan kepercayaan rakyat.

Pengamal media mestilah memahami dan mematuhi etika serta peraturan penulisan bagi mengelak mereka membuat laporan yang tidak bertanggungjawab, prejudis, berat sebelah, kurang tepat, tidak membina, perkauman dan menyeleweng dari fakta sebenar.

Berita atau laporan bersifat spekulasi, cakap dengar, sembang kedai kopi dan andaian semata-mata sehingga menjadikan keadaan lebih teruk perlu dielakkan sama sekali.

Mereka perlu bijak dan ikhlas melaporkan sesuatu yang bermanfaat kepada semua dan bukannya cuba menimbulkan polemik atau sensasi. Ini adalah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh pengamal media terutamanya wartawan dan penulis blog di negara kita.

Walaupun negara kita sejak sebelum merdeka lagi telah mengamalkan prinsip kebebasan akhbar di mana wartawan dan penulis berhak menulis sesuatu perkara tanpa rasa takut dan bimbang agar maklumat serta kebenaran sampai kepada sasaran, namun begitu mereka mestilah beretika dan bertanggungjawab atas apa yang ditulis dan dilaporkan kepada umum.

Dalam buku Mengenali Undang-Undang Media dan Siber (2002), diterangkan bahawa konsep kebebasan akhbar tidak wujud secara tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan di mana ia merupakan sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai kebebasan bersuara atau kebebasan bercakap.

Maksud kebebasan bersuara di sini termasuklah juga kebebasan mengeluarkan fikiran di mana konsep kebebasan bersuara ini diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak dapat dinafikan kebebasan bersuara, yang merangkumi kebebasan akhbar, adalah asas penting kepada semua jenis hak dan kebebasan asasi yang lain dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara ini yang merangkumi juga kebebasan akhbar adalah suatu konsep yang penting.

Tanpa kebebasan bersuara, kehidupan masyarakat demokratik seperti yang diamalkan di Malaysia tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akhbar dan media lain, sebagai wadah menyampaikan fikiran merupakan sebahagian daripada konsep kebebasan bersuara ini.

Penggubalan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan banyak lagi bukanlah bertujuan untuk menyekat dan mengawal kebebasan bersuara di negara kita malahan bertujuan melindungi rakyat dan institusi teras negara serta bagi memastikan masyarakat kita berada dalam keadaan yang terkawal, tenteram dan bebas.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kewujudan undang-undang ini bukan menyekat kebebasan tetapi ia penting supaya masyarakat hidup makmur meskipun mungkin mendatangkan sedikit kesan kepada Malaysia terhadap Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang berasaskan andaian tertentu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s