Nilai Sebuah Cerpen

Artikel ini saya peti daripada tulisan Nisah Haron yang boleh dirujuk di http://annyss.blogspot.com/2008/12/tiba-tiba-sebuah-cerpen-bernilai-rm30.html sebagai maklumat untuk semua. Harap maklum.

Sunday, December 14, 2008

Tiba-tiba Sebuah Cerpen Bernilai RM30 juta!

Sejauh manakah seorang pengarang boleh menggunakan lesen kreatifnya untuk berkarya?

Inilah soalan yang datang melalui SMS ke telefon bimbit saya beberapa kali. Agak sukar juga untuk menjawab persoalan ini melalui pesanan ringkas. Bimbang akan disalah erti. (Seperti yang berlaku kepada entri Sesudah Eidul Adha yang cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Boleh lihat pautan ini.)

Kali ini, saya sedang bertugas di Bengkel Penulisan Cerpen DBP-PEN 2008. Sewaktu rehat petang semalam, persoalan yang sama juga ditanyakan oleh beberapa peserta. Sudah ada yang bimbang untuk menulis hal-hal yang boleh diambil tindakan sedemikian. Lalu, haruskah pengkarya sekadar meneruskan tradisi lemah – menulis hal-hal yang tetek-bengek, kisah cinta dan rindu separuh mati sehingga tidak mampu mencabar akal sendiri?

Saya melihat isu Teresa Kok menyaman Utusan Melayu dari dua sisi:

a) sejauh manakah kebebasan berkarya; dan
b) sebijak manakah seorang penulis dapat berselindung di sebalik karya

Sebagai pengarang, kita mempunyai lesen kreatif. Saya bersetuju dengan pendapat yang dikirimkan oleh pemilik e-mel – cp@galaxystudio.tv di dalam artikel Memanfaatkan Lesen Penulisan Kreatif. Sebagai pengarang yang tahu akan hak-haknya, tidak ada yang patut dibimbangkan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan Kebebasan Bersuara kepada rakyat Malaysia.

Kebebasan Bersuara ada jaminan. (Kebebasan selepas bersuara, ada jaminan? Itu soal lain). Sebagai pengkarya, kita bebas untuk berkarya di bawah peruntukan perlembagaan ini.

Namun, sebagai pengarang juga, kita harus bijak mengungkapkan watak, latar dan elemen-elemen tertentu yang boleh dianggap ‘menimbulkan persoalan’ kepada pembaca tertentu, dengan tahap kiasan yang wajar. Di sinilah letaknya ketinggian akal budi seseorang pengarang. Ada pengarang yang menulis dengan agak langsung dan berkias di sebalik selapis kain kasa yang cukup jarang. Pembaca boleh ‘lihat’ apa dan siapa di sebalik tabir itu.

Saya juga pernah menulis cerpen bercorak sedemikian melalui cerpen-cerpen saya Resipi Dari Istana (30 Julai 2006 – Berita Minggu) dan Resipi Dari Istana 2 (24 Februari 2008- Berita Minggu).

Pengarang ialah manusia yang sensitif bukan sahaja kepada persekitarannya tetapi juga kepada isu yang berlaku dan bergolak di dalam dirinya. Ada sesuatu yang menjentik perasaan seseorang pengarang dan ini mendorongnya untuk meluahkan sama ada dalam bentuk emosi yang tidak terkawal ataupun dapat diungkapkan dalam karya.

Ketika saya menulis kedua-dua cerpen di atas, konteksnya berbeza dan emosinya juga tidak sama. Paling menarik, apa yang saya ungkapkan dalam karya-karya tersebut ditanggap oleh pembaca melalui tafsiran masing-masing. Boleh dikatakan tidak semua dapat melihat terus apa yang sebenarnya berlaku ‘di sebalik tabir’ yang saya pasang pada karya tersebut.

Pada saya, matlamat penulisan itu sedikit sebanyak sampai juga. Sebuah karya tidak harus bersifat peribadi dan hanya boleh ditafsirkan melalui satu hala. Tidak kurang penting apabila karya berkenaan dapat ditafsirkan kembali pada zaman yang berbeza. Misalnya, Pramoedya Ananta Toer telah mengungkapkan zaman internet ketika menulis Rumah Kaca. Padahal internet belum lagi wujud pada zaman tersebut. Bukanlah Pram itu seperti Nostradamus, tetapi karyanya itu melangkau zaman dan dapat ditafsirkan dengan cara yang berbeza mengikut zaman tertentu.

Cuba baca juga novel Kawin-kawin (Azizi Haji Abdullah). Lihat betapa halusnya satira Azizi dalam mengungkapkan senario politik Malaya-Malaysia. Tidak kurang juga menganggap novel ini mengandungi unsur lucah! Tapi, itu bergantunglah kepada pembaca itu sendiri. Jika hal-hal lucah memang sudah bermain-main dengan liar di dalam kepala, itulah yang akan terpancar melalui pembacaannya. Sebaliknya, apabila membaca secara terbuka, hal ini boleh sahaja ditafsirkan secara terbuka juga.

Pendek kata, sebuah karya boleh sahaja ditafsirkan dengan pelbagai cara dan itulah keistimewaan seni. Jika sudah terkunyah cili padi, pastilah terasa gigitan pedasnya pada lidah dan mulut. Sesiapa yang tidak memasukkan cili di dalam hidangannya, tentulah makanannya kurang perisa, barangkali!

Sebagai pengarang, saya berbangga apabila cerpen Politik Baru YB J tiba-tiba bernilai RM30 juta. Bukan senang sesebuah karya sastera mendapat perhatian yang cukup luas apatah lagi dibahaskan juga di dalam Parlimen!

Penulis wajar menggunakan lesen kreatif dengan sebijak mungkin. Seperti juga mendapat lesen memandu, pandai-pandailah memutar stereng kereta supaya tidak melanggar orang lain dan supaya orang lain tidak dapat menyaman kita kerana memandu dengan cara berbahaya!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s