ArenaWati

Belasungkawa: Karya sarat nasihat pertahan jati diri Melayu
Oleh Salbiah Ani dan Nazmi Yaakub


SASTERAWAN Negara (SN), Arena Wati, 84, yang pulang ke rahmatullah awal pagi semalam adalah lambang kegigihan pengarang negara ini dalam menghasilkan karya yang sarat dengan kritik sosial dan peringatan kepada bangsa Melayu agar tidak hilang jati diri. Allahyarham juga dilihat sebagai pengarang yang tinggi semangatnya terhadap kewujudan bangsa Melayu dengan menjadikannya sebagai perjuangan sepanjang hayat. Dilahirkan di Makasar, Indonesia, pada 30 Julai 1925, Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, berkelana ke Singapura dan akhirnya memilih Malaysia sebagai bumi untuk menetap.

Mula menulis seawal usia 22 tahun selepas menghabiskan usia remaja sebagai pelaut selama sembilan tahun, Arena Wati pernah terbabit dalam dunia kewartawanan dan penerbitan dengan menyertai majalah Hiboran di Singapura; Penerbitan Melayu Ltd (Johor Bahru); Percetakan Light (Bandar Seri Begawan) dan Pustaka Antara (Kuala Lumpur). Novel keempatnya, Tumbangnya Pokok Tak Berlangit yang kemudian ditukar judul kepada Lingkaran melonjakkan namanya apabila meraih tempat ketiga Peraduan Mengarang Novel Sempena 10 Tahun Merdeka. Sandera ditulis pada 1969 pula dianggap antara novel terbaiknya dan diangkat sebagai salah satu teks untuk Kertas 2 Bahasa Malaysia Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dari 1960-an hingga 1980-an.
Arena Wati turut dikenali sebagai pengarang yang banyak melahirkan novel dalam bentuk trilogi dan menjadi ikutan penulis mutakhir, bermula dengan Bunga dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak ia diikuti dengan trilogi Pantai yang menghimpunkan Pantai Harapan, Turina serta Citra. Trilogi Busa pula merangkumi Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu yang diikuti trilogi Armageddon dengan jilid Mandala, Menora dan Pentagon serta trilogi terbarunya iaitu novel Samira, kumpulan cerpen Antara Manusia dan teks drama lima babak, Kepala Bapak Itu. Kepengarangannya diperakukan pada peringkat serantau melalui Anugerah Penulisan Sea 1985, Anugerah Sastera Negara (1987) dan Anugerah Sastera Mastera (ASM) 2003 daripada Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera). Allahyarham turut menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Kesusasteraan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 2003 dan diberi penghormatan sebagai Karyawan Tamu UKM pada 1985 hingga 1989.
Arena Wati juga dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga 1990 dan Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (AS); Universiti Leiden, Belanda serta Universiti Kyoto, Jepun. Sementara itu, Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam (DBP), Azmi Ibrahim, yang menguruskan penerbitan beberapa karya Arena Wati antaranya novel, Sukma Angin dan drama, Kutukan Dari Langit, menyifatkannya sebagai insan yang sangat berpegang kepada janji dan bersedia menerima penjelasan. Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Hanafi Ibrahim, berkata novel Allahyarham paling mendapat perhatian di kalangan pengkaji sehingga kini adalah Lingkaran yang diterbitkan pada 1965, meskipun banyak karyanya lahir selepas itu. Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal, pula berkata, Arena Wati menjadi contoh penulis yang gigih dan tidak pernah mengalah untuk meluahkan pendiriannya melalui kesusasteraan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s