Perniagaan Internet

Artikel ini di petik dari Harian Metro, yang boleh dilayari di
An-Nur: Lelong di Internet
Oleh Zaharuddin Abd Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)

JUAL-BELI secara lelong dikenali dalam Islam dengan nama ‘al-Muzayadah’, iaitu satu kalimah yang membawa maksud daripada sudut bahasanya ‘saling naik menaik’.Dalam konteks jual-beli lelong ini, bakal pembeli cuba menawarkan harga yang lebih mahal kepada penjual dan sesiapa yang menawarkan harga tertinggi dikira pemenang.

Majlis Fiqh Antarabangsa yang bernaung di bawah Al-Munazzamah Al-Muktamar Al-Islami sudah mengeluarkan resolusi keharusan jual-beli lelong dengan syaratnya. Antara yang disebut dalam resolusinya adalah:

1. Setiap proses selanjutnya (selepas menang) seperti catatan secara bertulis, syarat pembayaran, pentadbiran dan undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan hukum syariah.

2. Penganjur atau penjual dibenar meminta jaminan daripada mereka yang turut serta dalam majlis lelongan.

3. Dibenarkan penganjur lelongan mengambil caj masuk atau penyertaan dengan syarat ia tidak melebihi nilai sebenarnya.

4. Diharamkan penjual atau penganjur melakukan bidaan palsu supaya harga lelongan naik. Ia dinamakan An-Najash yang diharamkan secara jelas oleh Nabi SAW.

5. Penjual dan rakan mereka menipu harga pasaran, kononnya jualan di tahap sangat murah.

6. Penjual mempromosi kualiti tinggi barangan yang boleh dibaca, dengar dan lihat bagi menaikkan harga, sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.

Hukum lelong di ebay (laman web lelong di Internet)

Selepas menerangkan serba ringkas asas dan panduan bagi jualan dan belian lelong di atas, saya melakukan pembelian di ebay. Saya dapati hukum pembelian melalui laman web itu harus selagi barang yang dibeli bukan emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

Pembelian ketiga-tiga barangan berkenaan diwajibkan untuk serah dan terima secara serta merta, namun barangan yang dibeli biasanya akan dihantar lewat disebabkan proses tertentu. Namun, ada fatwa lebih ringan yang mengizinkan kelewatan selama tiga hari dari tempoh pembelian.Ia pandangan mazhab Maliki berdasarkan kaedah fiqh yang popular iaitu: “Apa-apa yang hampir dengan sesuatu, maka akan mengambil hukum sesuatu itu.” (Asbah wa Nazair, as-Suyuti, hlm 82)

Kesimpulan hukum membeli melalui ebay adalah:

1. Dibenarkan atau harus untuk membeli di laman web ebay, kecuali pembelian tiga barangan iaitu emas, perak dan mata wang semasa yang diguna pakai (bukan yang antik tanpa nilai).

2. Dibenarkan atau harus untuk menjual di laman web ebay. Namun, komisen yang diambil oleh paypal dan pengendali ebay daripada pembeli adalah harus atas hujah ia adalah caj servis atau wakil atas sesuatu kerja.Namun caj berkenaan mesti diketahui cara kiraan dan jumlahnya dari awal penjualan dibuat. Menerima bayaran daripada pembeli yang menggunakan kad kredit konvensional adalah harus kerana ia di luar kuasa dan tanggungjawab penjual.

3. Pembayaran melalui kad kredit konvensional adalah haram, walaupun pembeli membayar harga ‘on time’ kepada pengeluar kad. Ini kerana setiap pembeliannya memberi komisen kepada pengeluar kad kredit riba, ia dikira membantu perkembangan industri kad kredit riba secara langsung.

4. Paypal: Pembayaran melalui paypal adalah mengikuti hukum kad yang disandarkan kepada paypal, iaitu kad kredit, debit atau ‘charge card’ yang digunakan. Jika ia kad yang dikeluarkan secara konvensional, justeru pembayaran melalui pay pal turut haram.

5. Tempoh Serah: Mestilah diketahui tempoh hantaran barang akan dibuat dan anggaran tarikh ia akan sampai ke tangan pembeli.

6. Jaminan: Penjual mestilah diketahui atau boleh dihubungi jika barangan dibeli masih tidak sampai melepasi tempoh dijanjikan.

7. Jaminan atas kerosakan atau aib: Satu fakta tambahan yang menjadikan ebay semakin selamat adalah ganti rugi daripada pihak ebay.Menurut mereka yang kerap berurusan dengan ebay, pihak ebay turut menyediakan peruntukan ganti rugi bagi sesiapa yang menghadapi penipuan melalui transaksi jual-beli di laman web itu.

Rakan saya di Swansea, United Kingdom (UK) pernah menerima ganti rugi beberapa ratus Pound Sterling apabila televisyen yang dibelinya melalui ebay mempunyai kerosakan yang tidak dinyatakan dengan jelas oleh penjual dalam spesifikasi jualan.Tindakan dan peruntukan ganti rugi ebay seperti ini menjadikan unsur gharar menjadi mengecil dan jatuh dalam kategori gharar yasir yang dimaafkan.

Lelong di Swoopo

Saya turut ditanya mengenai satu lagi laman web lelongan yang kian popular iaitu http://www.swoopo.co.uk. Selepas meneliti terma dan syarat penyertaan dalam lelongan swoopo, saya dapati lelongan melalui laman web terbabit berbeza dengan ebay.

Antara terma yang berbeza dengan ebay adalah:

1. Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan.

2. Jika pembeli tidak membuat bayaran bagi pembelian yang sudah dibuat, caj bayaran pulangan dikenakan dan pembeli akan menanggungnya. Swoopoo mempunyai hak untuk menyekat laluan kepada akaun pembeli hinggalah bayaran penuh dibuat atas barangan sudah dibelinya.

3. Bidaan tertentu seperti ‘FreeBids’ hanya sah untuk tempoh terhad. Sejurus ia tamat tempoh mengikut waktu ditetapkan, bidaan tidak lagi boleh dibuat manakala wang pula tidak akan dikembalikan.

4. Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu pertama, mengklik punat bida dan kedua, secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’. Sejurus bidaan dibuat, caj tunai ditolak melalui akaun pengguna.

Kesimpulan

Jual dan beli atau bidaan melalui web swoopo adalah haram kerana wujud unsur judi dan gharar yang besar. Ini kerana setiap peserta perlu membeli hak untuk bidaan yang ada nilai tertentu, dan hanya mempunyai beberapa peluang membida berdasarkan nilai ‘package bid’ yang dibeli. Ia ternyata dengan jelas dalam ayat ini:

“Setiap bakal pembida perlu membeli hak bidaan dan bayarannya mesti dijelaskan sebelum membida. Bidaan pula boleh diberi melalui pakej tertentu dikenali sebagai ‘BidPacks’ berdasarkan harga tertentu yang ditetapkan. Setiap bidaan hanya berjumlah 40 pence atau RM2 dan ia ada dalam pakej BidPacks.”

Anda dapat melihat bagaimana satu bayaran bagi bidaan dikenakan RM2 dan anda dikehendaki membeli BidPacks dalam pakej dinyatakan itu.Ia jelas d
an terang menjadi judi apabila disebut dalam termanya:Bidaan boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu mengklik punat tertentu membida dan secara automatik melalui penggunaan khidmat ‘BidButler’. Tatkala itu ia sama seperti judi, yang mana pembayaran hak bidaan dijadikan sebagai wang taruhan dan barangan yang dijual seperti hadiah kemenangan, manakala semua pembida yang tewas akan kehilangan wang bidaannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s