Apabila Rafiqin Darwisy Tiba-tiba Menjadi Satu Fonomena Maya

Ada apa dengan Rafiqin Darwisy yang tiba-tiba sahaja bagai menjadi satu fonomena di alam maya? Tersohor sangatkah dia hingga semua orang sibuk bercerita tentangnya sama ada secara maya atau di dunia nyata? Siapakah dia yang bergelar Rafiqin Darwisy itu, sehinggakan menjadi buah mulut ramai mengalahkan angkasawan pertama negara Dato’ Shaik Muzafar Shukor?

Nama Rafiqin Darwisy menjadi hangat selepas pelawak Din Beramboi (Mior Ahmad Fuad) meninggal dunia pada 2hb April 2010 (22 disember 1966 – 2 april 2010) kerana kegagalan fungsi organ dalaman badan akibat denggi. Kehilangan pelawak, pelakun, DJ radio, pengacara dan sebagainya ini mendapat liputan yang meluas dalam semua mediamassa termasuk di dunia maya. Biarpun ramai yang menangisi kehilangan ini, namun kemunculan tulisan Rafiqin Darwisy di Facebooknya yang bersifat menghina orang yang telah pergi menimbulkan kemarahan ramai sehingga Facebooknya menjadi medan caci maki dan penghinaan.

Saya telah banyak kali memaparkan tentang isu batasan kebebasan yang ada dan wujud secara maya dalam blog ini terutamanya dalam tajuk Bebaskah Menulis Secara Maya?. Sila baca semula tajuk ini untuk lebih memahami isu-isu yang berkaitan. DrMaza juga telah mengulas hal ini di blog beliau yang boleh dibaca sebagai rujukan tambahan.

Rafiqin Darwisy bukanlah nama baru dalam dunia maya yang boleh dikaitkan dengan penulisan yang melibatkan hal-hal sensitif. Sebelum kemunculan anak muda belasan tahun ini, berderet nama lain telah lama mendahuluinya dalam penulisan yang menyalahi undang-undang sebegini.

Azrin Md. Zain seorang juruteknik computer telah dipenjarakan lima bulan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan dia merupakan individu pertama yang disabitkan bagi kesalahan tersebut. Beliau melakukan kesalah kerana menghina institusi beraja terutama Sultan Perak. Kes ini juga mendapat liputan meluas di mediamassa.

Seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, didakwa menggunakan aplikasi Internet secara sedar untuk memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain. Dia menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam, dengan menulis “ke nak aku baling bom petrol di sana plak?…harga boleh runding…”.

Aduka Taruna pernah mendapat kecaman ramai terutama rakyat Johor apabila telah menyiarkan komen-komen yang “tidak patut” semasa tersebar berita tentang kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar. Malah, penulis yang sama juga pernah membuat penghinaan terhadap isteri kesayangan Rasulullah, Aishah dengan menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya. Walaupun begitu, penghinaan ini tidak diketahui dengan meluas dan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia (berdasarkan tiada tindak balas yang drastik dilakukan terhadap beliau semasa melakukan penghinaan terhadap almarhum sultan). Penghinaan yang sama turut dilakukan oleh Lynette Lincoln dan Joanna Ann di Facebook masing-masing seperti dilaporkan Harian Metro di http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/jj7679/Article, iaitu:

Wanita hina Nabi

2010/02/11

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif syarikat swasta membuat laporan di Balai Polis Travers,, semalam, berikutan kenyataan disiarkan dua wanita bukan Islam yang menulis perkataan didakwa menghina Nabi Muhammad s.a.w dalam laman sembang popular, Facebook milik mereka.
Moohamad Faizal Abdul Raub, 28, berkata dia tidak mewakili organisasi membuat laporan polis kerana sebagai tanggungjawabnya berusaha menghentikan mana-mana pihak, sengaja menimbulkan rasa kegusaran pihak lain dengan menulis sesuka hati. Katanya, dua wanita itu wajar dikenakan tindakan lebih-lebih lagi mereka menyentuh sensitiviti agama dalam hal yang membabitkan kesucian agama Islam yang dianuti majoriti penduduk di negara ini.

“Amalan kebebasan bersuara yang diingini oleh mana-mana pihak tidak wajar disalahgunakan. Penduduk negara ini mahu hidup dalam aman dan tenteram. Semua pihak wajar mengambil berat jika ada individu atau pihak cuba menggugat keamanan tidak kira sama ada menerusi percakapan, perbuatan atau tulisan…kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Pandangan salah seorang wanita itu yang memperkenalkan diri sebagai Lynette Lincoln memberikan komen menghina Nabi Muhammad dikhuatiri akan mencetuskan kekecohan andainya tidak dibendung,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Travers di sini, semalam.

Harian Metro turut menerima emel daripada pembaca yang kecewa dengan tulisan wanita itu yang tersiar di laman sembang Facebook. Siasatan lanjut wartawan di laman itu mendapati terdapat perbincangan pelayar di laman berkenaan yang mahukan Lynette Lincoln dan Joanna Ann sepatutnya memohon maaf kepada umat Islam di dalam Facebook kerana kenyataan keterlaluan yang mengguris hati umat Islam.

Faiza Alih, (setelah dijejaki beberapa kali, ternyata Facebooknya telahpun dipadamkan dan tidak dapat dijejaki lagi. Ada kemungkinan juga dia akan mendaftarkan akaun Facebook yang baru menggunakan nama yang lain pula) dengan berani telah meninggalkan komen di blog Yang Dipertuan Agong Malaysia, Tuanku Mizan yang mengandungi penghinaan terhadap raja-raja melayu dan agama Islam. Berita tentang individu ini boleh dibaca dalam Utusan Malaysia di http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2010&dt;=0317&pub;=Utusan_Malaysia&sec;=Jenayah&pg;=je_05.htm

ARKIB : 17/03/2010

Pemuda Pagoh lapor polis pengguna Facebook Agong hina Islam
MUAR 16 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook kerana membuat komen menghina kesucian al-Quran dan Islam di laman Facebook peminat Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Komen yang bersifat penghinaan itu dilakukan oleh ‘Faiza Alih’ di ruangan komen bahagian nota laman sosial itu yang bertajuk Keep the peace-King. `Faiza Alih’ itu menulis komennya di laman nota tersebut sebanyak beberapa kali dengan tarikh yang terbaru adalah pada pukul 5.50 pagi, kelmarin.
Laman Facebook peminat Yang di-Pertuan Agong itu sehingga kini menghimpunkan 34,323 ahli dan ia memaparkan 10 petikan berita berhubung kenyataan baginda dari Mac hingga April 2008. Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pagoh, Mohd. Razali Ab. Rahman, dia mula menyedari mengenai komen yang berbentuk penghinaan itu pada petang semalam selepas dimaklumkan rakannya.
“Saya telah terbaca beberapa komen yang ditulis Faiza Alih ini dan nyata sekali komennya begitu keterlaluan sehingga menghina kesucian al-Quran dan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Saya membuat laporan polis ini supaya pihak polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelasnya, dia membuat laporan hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bersama Setiausaha Per
gerakan Pemuda UMNO Pagoh, Helmi Afendy Ismail. Menurut Mohd. Razali, kenyataan yang dikeluarkan Faiza Alih itu dibuat menggunakan dua akaun yang berbeza dan salah satu daripadanya memaparkan kad pengenalan negara Filipina sebagai gambar profail. “Individu ini mendakwa dirinya sebagai orang Filipina namun dia menggunakan bahasa Malaysia dalam ruangan komen tersebut,” katanya.

Sebaris dengan nama-nama di atas juga wujud nama-nama lain yang sangat bebas mengkritik, menulis dan menyebarkan secara maya tulisan mereka dengan inti utama tulisan berkenaan lebih kepada menghina, memburukkan, menghasut dan menfitnah tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya telah melanggar undang-undang Negara di bawah akta komunikasi dan multimedia dan akta suruhanjaya komunikasi dan multimedia. Sebahagian besar daripada mereka yang sangat berani menulis hal-hal sensitif dan penghinaan sebegini terdiri daripada golongan yang tidak mengetahui tentang undang-undang negara, kebebasan dalam penulisan dan keterbatasan perkara yang boleh ditulis sama ada secara maya atau bercetak. Akhirnya, secara tidak sedar mereka telah terjerumus di bawah undang-undang negara dalam akta tertentu, apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman sama ada penjara atau denda.

Meneliti senarai orang-orang yang terlibat dalam kontroversi secara maya ini, kehadiran Rafiqin Darwisy bagaikan memberi gambaran tentang sesuatu, iaitu, pengguna alam maya tidak sahaja terdiri daripada remaja, belia atau orang tua yang telah matang, tetapi juga termasuk remaja pramatang, kanak-kanak atau golongan awal remaja. Golongan ini pula ternyata memerlukan bimbingan dan perhatian yang sewajarnya daripada golongan lebih dewasa dan matang.

Walau apapun situasi yang timbul, satu pemantauan perlu dilakukan terhadap dunia maya. Warga Malaysia perlu didedahkan tentang etika berkomunikasi dan menulis secara siber, perlembagaan dan undang-undang Negara, seterusnya pengetahuan asas berkaitan perkara-perkara yang BOLEH dan TIDAK WAJAR disentuh apabila menulis, walaupun secara maya. Kesedaran untuk menjaga keharmonian sama ada secara maya atau bukan maya bukanlah tanggungjawab segolongan tertentu sahaja, tetapi perlu dipikul oleh semua pihak.

Rafiqin Darwisy masih remaja. Awal remaja. Dia juga telah memohon maaf secara terbuka di Facebooknya (setelah digeledah secara maya, saya dapati facebooknya telahpun dipadamkan). Jadinya, tiada salah bukan memaafkan dia? Anda akan terlihat lebih terpelajar andai memberi peluang kepadanya membaiki diri dan membimbingnya ke arah penulisan yang terbilang. Dia kreatif dan terdedah dengan teknologi maklumat, apa salahnya gunakan kelebihan itu untuk mengasah bakat menulis semulajadinya.

Rafiqin Darwisy, sekiranya anda memerlukan bimbingan untuk menulis, sila emel saya😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s