Etika dalam Penulisan

Di Malaysia, setiap orang yang terlibat dalam penulisan sama ada secara bercetak atau secara maya perlu menyedari tentang beberapa perkara yang perlu mereka patuhi. Perkara yang sangat perlu dipatuhi setiap orang apabila menulis adalah;

i. Etika penulisan

ii. Akta dan undang-undang negara

iii. Kepelbagaian bangsa, agama dan kepercayaan di Malaysia

iv. Beberapa perkara sensitif yang tidak boleh disentuh dan dibincangkan secara terbuka


Pematuhan terhadap perkara-perkara di atas sangat penting terutama di negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, berbagai-bagai kepercayaan dan amalan hidup. Sila baca entri sebelum ini sebagai satu gambaran awal sebelum meneruskan bacaan berkaitan tajuk etika dalam penulisan ini.
 

Etika dalam penulisan akan wujudkan moral kepada setiap orang yang melibatkan diri dalam dunia menulis, tanpa mengira jenis penulisan yang diceburi. Sama ada anda terlibat sebagai seorang penulis karya kreatif yang menghasilkan novel, puisi atau cerpen, menulis travelog, buku-buku popular, rencana atau penulisan serius, ataupun menulis secara maya di blog, laman web, facebook, twitter dan sebagainya, anda masih lagi terikat dengan etika apabila menulis. Etika yang anda pegang akan menyerlahkan siapa anda berdasarkan hasil tulisan dipaparkan.

Di Malaysia Etika Kewartawanan Malaysia diguna pakai. Etika ini mementingkan tentang kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang benar. Tulisan perlu jujur, menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita tersebut dan mengelakkan tulisan berbentuk perkauman, bercorak fitnah dan bias serta melampau dengan susila masyarakat majmuk. Setiap maklumat yang ditulis perlu sahih faktanya, benar dan tidak berunsur hasutan atau fitnah. Maklumat yang tidak betul perlu diperbetulkan semula.

Setiap orang yang terlibat dengan dunia menulis, perlu mengetahui dan mahir tentang undang-undang berkaitan, perlu memahaminya dan berusaha untuk tidak melanggarnya. Tulisan juga perlu bermoral dengan mengelakkan tulisan berbentuk menghasut, memfitnah, menerima rasuah, melakukan aktiviti plagiat dan sebagainya. Penulis juga perlu mematuhi Kod Perilaku Profesional oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia walaupun tidak semua penulis adalah wartawan.

Etika dan Pengamal Media

Dalam sistem demokrasi, peranan media seperti akhbar, buku, radio dan televisyen amat penting bagi menyebarkan maklumat yang tepat dan dipercayai. Peranan media ini merupakan nadi kepada proses demokrasi. Media mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Media akan membangkitkan pelbagai isu terutamanya yang melibatkan isu-isu seperti keganasan, perlakuan seksual, masalah sosial, konflik perkauman dan sebagainya untuk menarik perhatian pembaca.

Sekalipun tidak ada etika mutlak tentang penulisan di Malaysia, namun Etika Kewartawanan Malaysia boleh digunapakai sebagai panduan kepada golongan penulis. Etika ini mementingkan tentang kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat sebenar. Penulis atau wartawan berperanan memberi sumbangan kepada proses membina negara, menyedari kewajipan untuk memberi sepenuhnya sumbangan dalam memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.

Penulis juga perlu memastikan kejujuran dalam penulisan, menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita dan mengelakkan tulisan berbentuk perkauman, bercorak fitnah dan bias serta melampau dengan tatasusila masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh itu, Tatasusila Kewartawanan di Malaysia ialah:

• Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar.

• Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.

• Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar atau filem dan dokumen.

• Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat hendaklah diperbetulkan.

• Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita.

• Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan, tuduhan yang tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

• Wartawan hendaklah menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauaman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.

• Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.



Etika Penulisan dalam Islam

Islam sangat mementingkan cara hidup yang berlandaskan kebenaran seperti Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang yang benar- benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu sendiri. Jika ia (orang yang dianiaya) kaya ataupun miskin maka Allah lebih tahu keperluan kedua- duanya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala yang kamu kerjakan” (Surah al-Nisa’ : 135).


Setiap kebenaran tidak boleh disembunyikan. Walaupun menulis, tulisan berkenaan perlu berlandaskan kebenaran, sahih sumbernya dan tidak mengetengahkan penipuan dan pembohongan seperti Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Janganlah kamu menyamarkan kebenaran dengan kebatilan serta kamu sembunyikan kebenaran walhal kamu tahu (hakikat sebenarnya)” (Surah al-Baqarah: 42).

Setiap perkara yang ditulis dan disebarkan perlu ditentukan kesahihahan serta kebenarannya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Surah al-Hujarat: 6).



Bagi penulis Islam pula, beberapa etika berikut perlu dilihat dalam menghasilkan sesuatu tulisan iaitu;

• Menulis dengan ikhlas bererti menulis dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap penulis harus menyedari bahawa apa yang ditulisnya adalah suatu amal soleh dalam usaha mengabdikan diri kepada Penciptanya di samping berusaha untuk menyara diri dan keluarga yang dikasihi dan berkhidmat kepada masyarakat.

• Hendaklah berpegang dengan kefahaman Islam yang betul dan jauh daripada penyelewengan dan salah faham. Hendaklah mengira dosa dan pahala yang akan ditanggungnya jika pembaca terpengaruh dengan tulisan tersebut. Jadi sesuatu tulisan itu perlu dihindari daripada unsur-unsur menghasut, menfitnah, mempengaruhi pembaca ke arah perkara-perkara yang negatif dan tidak baik.

• Penulis mestilah mahir dalam bidangnya dan berpegang dengan adab-adab Islam, mengambil maklumat yang benar dengan tidak dikurangkan atau ditambah-tambah atau diubah daripada keadaan sebenar. Analisisnya hendaklah secara objektif dan dapat memberi faedah kepada pembaca serta memberikan gambaran yang sebenar, tidak mencaci, menyakiti atau memfitnah orang lain.

• Hendaklah mengambil berat kritikan yang membina dan tidak meruntuh, berkata benar walaupun pahit dengan tidak merasa takut dengan kebenaran yang cuba disampaikan.

• Hendaklah bijak menghubungkaitkan isu-isu atau berita yang ditulisnya dengan dakwah kepada Allah supaya manusia tahu bahawa agama Allah meliputi segala bidang kehidupan, berperanan disetiap tempat, mengarah, menghukum dan menyelesaikannya.

• Hendaklah hidup bersama-sama dengan masalah masyarakat yang dihadapinya, bersama-sama dengan perasaan mereka dan bekerja sama dalam menyelesaikan masalah masyarakat secara yang dituntut oleh Islam.

• Hendaklah sedar tentang apa disiarkan oleh musuh-musuh Islam yang menentang Islam dengan membatalkan segala pembohongan mereka terhadap Islam dan dapat mengemukakan kepada manusia dengan cara penyelesaian yang baik.

• Bagi penerbit pula, hendaklah bertanggungjawab terhadap apa yang hendak disiarkan. Oleh itu, jangan siarkan sesuatu yang menyeleweng dan merosakkan.



Sebab Berlaku Pelanggaran Etika

• Keinginan menjadi penulis dengan cepat

• Penyalahgunaan teknologi

• Penguatkuasaan undang-undang yang longgar

• Tidak faham apa yang dikatakan pelanggaran etika

• Faktor Bahasa

• Penggunaan Status dan Pengaruh





Kesan Pelanggaran Etika dalam Penulisan

Etika diwujudkan untuk mewujudkan suasana aman, makmur dan saling menghormati antara satu sama lain. Pelanggaran terhadap etika dalam bidang penulisn akan meninggalkan kesan, antaranya;

• Pertama, merugikan pihak penerbit dan penulis kerana hasil karya mereka diplagiat oleh orang lain. Perkara ini bermaksud hasil kerja penulis atau pengkarya asal telah diplagiat oleh orang lain dan pihak tersebut telah mengaku hasil kerja tersebut adalah idea mereka.

• Kedua, memberi kesan buruk kepada ekonomi negara kerana pendapatan melalui cukai tidak boleh dikutip dari penerbit dan penulis.

• Ketiga, maklumat yang disiarkan tidak benar dan tidak tepat.

• Keempat, penggunaan pelbagai cara yang tidak wajar untuk mendapatkan maklumat, gambar dan filem serta dokumen. Budaya paparazzi di Barat yang mendapatkan berita dengan cara tidak wajar tidak sepatutnya menjadi ikutan.

• Kelima, munculnya berita yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk di Malaysia.

• Keenam, munculnya karya-karya yang bermutu rendah. Penulis tidak bermotivasi untuk menulis karya bermutu tinggi disebabkan karya mereka diplagiat. Mereka juga tidak menerima pendapatan yang setimpal dengan hasil penulisan.

• Ketujuh, memberi imej buruk kepada negara kerana terlalu banyak berlaku pelanggaran dalam etika penulisan. Pelajar juga perlu sedar bahawa negara banyak bergantung kepada hasil kerja yang dilakukan oleh pelajar terutamanya dari institusi pengajian tinggi. Sekiranya pelajar gemar melakukan plagiat maka negara tidak akan mengalami kepesatan dari melahirkan idea-idea baru bagi mengharumkan nama negara, sedangkan golongan pelajar inilah yang bakal memajukan negara pada masa hadapan.

• Kelapan, Apabila seseorang melakukan plagiat, minda dan kreativiti mereka tidak dapat berkembang dengan baik dan cemerlang. Semua karya dan penulisan yang dihasilkan adalah hasil kerja yang ditiru secara terang-terangan daripada maklumat yang diperolehi dan tulisan orang lain. Mereka tidak mempunyai idea dan kreativiti sendiri.

• Kesembilan, pelajar universiti yang melakukan pelanggaran etika seperti plagiat mempunyai berkemungkinan yang tinggi untuk gagal dalam pengajian. Setiap universiti mempunyai kuasa melalui undang-undang berkaitan untuk melucutkan mana-mana pelajar yang didapati plagiat dalam tugasan, penulisan penyelidikan dan laporan tahun akhir. Terdapat beberapa kes di beberapa buah universiti di Malaysia yang melibatkan penarikan balik ijazah pengajian dan perlucutan keputusan pengajian pelajar apabila terbukti pelajar terbabit terlibat dalam plagiat.


Kesimpulan

Setiap penulis perlu patuh kepada etika semasa menulis bagi mengelakkan berlaku suasana yang tidak aman, kucar kacir dan tidak aman dalam masyarakat diakibatkan oleh hasil tulisan yang tidak beretika. Walaupun tidak ada etika yang dikhususkan kepada penulis apabila mereka berkarya dan menulis, namun perlu diakui bahawa ini tidak bermakna penulis dibolehkan untuk menulis secara tidak beretika.

Selain etika, penulis juga perlu mematuhi pelbagai perkara lain lagi termasuk undang-undang, peraturan, norma dan nilai dalam masyarakat yang akan dibincangkan dalam tulisan lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s