Budi Bahasa Secara Maya

Budi Bahasa Budaya Kita. Kononnya. Sepatutnya. Namun, bagaimana kita berbudi bahasa secara maya?
Semua orang kelihatan sopan dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi secara berdepan. Penuh dengan tertib, bersopan santun. Bersusila. Bagaimana pula bila berkomunikasi secara maya? Masihkah begitu?
Walaupun anda hanya berada di hadapan komputer, namun, apabila anda menjelajah dunia secara maya, anda sebenarnya sedang mempamerkan siapa diri anda berdasarkan budi bahasa anda. Hanya menggunakan perkataan.
Bagaimana mahu berbudi bahasa secara maya?

1. Ucapan salam apabila bertegur sapa.

Bagi masyarakat Islam, ucapan Assalamualaikum merupakan antara ucapan yang paling baik. Anda juga boleh berikan ucapan “Salam Sejahtera”, “Selamat Pagi”, dan sebagainya mengikut kreativiti anda. Namun, elakkan penggunaan ucapan yang kasar seperti “Hoi”, menggelarkan orang lain dengan gelaran tertentu seperti “Hey Mun” (tambun), Debab, Gigi Mancung dan sebagainya sebagai panggilan berdasarkan rupa bentuk fizikal mereka. Sesiapapun tidak gemar dipersendakan.

2. Hormati pengguna maya yang lain.

Hormat menghormati bukan sahaja apabila bermasyarakat dan bersosial di alam realiti, namun perlu dilakukan dalam masyarakat maya juga. Bertegur sapalah dengan ramah dan mesra. Hormatilah pandangan dan pendapat orang lain, pada masa yang sama anda juga boleh menyatakan pendapat dan pendirian sendiri tanpa merendah-rendahkan pendapat orang lain. Usahlah bersikap angkuh, rasa bagus atau menganggap diri anda terpelajar dan paling sempurna hanya semata-mata anda seorang penuntut universiti atau berada dalam posisi tertentu dalam pekerjaan.
Setiap orang telah diciptakan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Walaupun anda terpelajar dan lepasan universiti, anda juga ada kelemahan yang lain. Lagi pula, tidak rugi sekiranya anda merendah diri, ilmu anda tidak akan habis, malah anda sebenarnya akan lebih dihormati dan dikagumi.
3. Menggunakan perkataan yang sopan, mesra dan menghormati pengguna lain
Berkomunikasilah secara aman sama ada semasa di laman sembang, blog, twitter, Facebook ataupun komunikasi maya yang lain. Siapa anda dipaparkan melalui penggunaan perkataan semasa berkomunikasi. Sekiranya anda seorang yang bersopan, menghormati pengguna yang lain, berkomunikasi secara aman dan ceria, maka pengguna yang lain juga akan berbuat begitu juga dengan anda. Sudah tentu mereka gembira dapat berinteraksi dengan anda.
Namun, apabila anda berkomunikasi secara tidak berhemah, marah-marah, suka melaga-lagakan orang lain, maka begitulah juga layanan yang akan diberikan orang lain kepada anda. Mungkin anda hanya memaki sekali sahaja, tetapi makian berkenaan akan dibalas secara bertubi-tubi oleh orang lain dengan kelompok yang lebih ramai. Malah, kemungkinan untuk wujud kumpulan tertentu di Facebook yang cuba menjatuhkan anda pula tetap ada, walaupun anda bukanlah popular macam artis.
4. Baca keseluruhan isi entri sebelum tinggalkan komen
Sebelum meninggalkan apa-apa komen di entri orang, pastikan anda baca keseluruhan isi agar tidak timbul salah faham. Ada kala, penulis meletakkan tajuk yang tidak berkaitan dengan isinya, ataupun menggunakan helah tertentu pada tajuk untuk mencuri minat pembaca, sedangkan isinya tidak bermakna sebegitu.
Membaca keseluruhan tulisan berkenaan dapat elakkan diri anda daripada terlihat “bodoh” dan “gelojoh” kerana meninggalkan komen tentang apa yang telah diulas dalam tulisan tersebut. Bukankah anda juga akan termalu sendiri apabila ditempelak penulis atau pembaca yang lain nanti. Cuba lihat contoh yang saya petik dalam blog saya Dunia Menulis dalam entri lagi-lagi jenayah siber, iaitu:

Abdul Rabb said…


Hello
Boleh saya tahu detail position kamu di HSBC?
Kenapa ada Malaysian yang nak jadi Negro nieee, lawak sungguh kau niee sengal.
Dah tak da cara lain nak scam ker? wakakakakaakak
Bodoh nyer melayu, serupa itu bodoh punya negro…
Ada berani telefon aku 01362xxxxx
November 4, 2009 3:09 AM

Apa pendapat anda tentang komen ini? Setelah membaca keseluruhan entri berkenaan, anda akan dapati betapa komen berkenaan ditampal di situ tanpa membaca keseluruhan entri. Mahu lihat apa komen saya tentang itu? Usah terasa hati sekiranya kedengaran sedikit kasar, namun beginilah jawapannya;

maharam said…
Encik Abdul Rabb yang tak faham bahasa dan adat,

Sila baca dengan teliti dan memahaminya sebelum anda tinggalkan apa-apa komen di ruang ini kerana sumpah seranah anda itu sudah membayangkan betapa rendahnya darjat anda sebagai manusia sesama manusia, apalagi di sisi Allah.

Kalau saudara tidak membaca dengan teliti entri ini, saya sarankan agar saudara membacanya semula DENGAN PENUH KETELITIAN sebabnya semua ini saya tulis untuk pelajar-pelajar saya memahami tentang bagaimana jenayah siber boleh berlaku berserta contohnya. Semua ini perlu kerana pelajar-pelajar saya akan duduki peperiksaan, berbanding saudara yang dah tentu sudah dapat ijazah lebih awal. Saya bukan pekerja HSBC, tak ada satu ayatpun yang menceritakan yang saya ini berkerja di HSBC. Sila baca semua entri ini sekali lagi dengan tenang dan fahaminya sebaik mungkin. Jika anda menghadapi masalah memahami bahasa Melayu, sila ambil kelas tambahan bahasa melayu terlebih dahulu.

Sekiranya saudara juga tidak tahu adat dan budaya di Malaysia, juga silalah belajar dahulu beradab dan berbudaya sebelum maki hamun tak tentu hala di blog orang lain yang saudara sendiri tidak faham apa-apa. Itu akan menggambarkan pribadi saudara di mata dunia (blog ini bersifat terbuka dan boleh dilayari di seluruh dunia, bukannya dikhaskan kepada orang-orang tertentu sahaja).

Akhir sekali, sila buka blog saudara untuk bacaan umum kiranya saudara memang intan terpilih yang paling cerdik di dunia luas ini. Sila juga berikan nombor telefon penuh saudara kiranya saudara memang benar-benar seorang yang berani dan bijaksana. Tidak
guna saudara berselindung disebalik apa-apa topeng kalau benarlah saudara seorang bagus dan lebih baik daripada orang lain.

Harap maklum.
Ini bukan bermakna anda tidak boleh tinggalkan apa-apa komen di blog orang lain, namun sebelum tinggalkan komen anda, bacalah entri berkenaan dengan teliti dan fahaminyalah.
5. Elakkan kata-kata makian, carutan dan fitnah
Usah berdalih “Saya bersopan santun dan bersusila mukmin sejati” sedangkan apabila berkomunikasi secara maya, anda mengamalkan makian, carutan, fitnah dan melaga-lagakan orang lain. Sebagaimana dalam dunia realiti, sebegitulah juga secara maya. Sekiranya anda kaki carut, kaki maki, kaki fitnah dan sebagainya secara maya, realitinya tetap dianggap begitu. Malah, keupayaan untuk anda lakukan makian, carutan dan fitnah itu juga akan lebih berlipat kali ganda lagi secara maya apabila ramai yang beranggapan mereka TIDAK DIKENALI.

Benarkah anda tidak dikenali secara maya? Benarkah identiti anda sentiasa tersembunyi? Anda benar-benar yakin? Cuba telaah entri saya sebelum ini.

One thought on “Budi Bahasa Secara Maya

  1. Tahniah atas kebijaksanaan Sdr menjawab dan saya suka dengan cara yang sopan itu. Di pihak saya, atas sebab banyak makian yang diterima jugalah, dalam beberapa posting di blog, saya juga membalas balik dengan cara yang memang kasar. Pembuli ada di mana-mana dan dalam pelbagai wajah. Sebahagiannya siap bertopengkan hadis dan ayat-ayat suci. Maaf kalau saya mengganggu.MARSLI N.O

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s