Kampung Morten: Warisan Perkampungan Melayu Melaka.

Bagi rakyat Negeri Melaka, nama Kampung Morten bukanlah satu nama yang asing. Namun bagi pelancong-pelancong dari negeri lain mungkin ada yang belum kenal, malah mungkin ini baru pertama kali mendengar nama kampung ini. Hakikatnya Kampung Morten, khususnya Villa Sentosa telah menerima pelawat daripada pelbagai pelosok dunia.


Kampung Morten, unik dan tersendiri. Perkampungan Melayu ini diasaskan oleh Datuk Haji Hashim dan dua orang sahabatnya pada tahun 1923 bersempena dengan nama Pesuruhjaya Tanah dan Hasil, MJ Morten. Kampung ini hanya memuatkan sebanyak 120 tapak rumah dan terletak tidak jauh dari Pusat Bandar Melaka. Senibina yang unik dan lokasi di tepian sungai Melaka menjadikan kampung ini laluan utama Melaka River Cruise. Lebih menarik, Datuk Haji Hashim merupakan pelajar Melayu pertama yang memperolehi Junior Cambridge Certificate pada 1914, dan merupakan pelajar Melayu pertama memperolehi MBE pada tahun 1935.

Allahyarham Datuk Haji hashim, Pengasas Kampung Morten

Tidak lengkap kedatangan anda ke kampung morten ini sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Villa Sentosa – The Living Museum. Rumah tradisi ini dinamakan sebagai The Living Museum kerana rumah ini masih dihuni oleh waris Datuk Haji Hashim yang menjaga kediaman ini dengan rapi. Salah seorang daripada waris beliau ialah Tuan Haji Ibrahim (73 tahun). Haji Ibrahim dan ahli keluarga yang lain bukan sahaja menjaga khazanah keluarga mereka dengan baik, malah sangat berbesar hati untuk berkongsi kisah dan kenangan dengan sesiapa sahaja yang melawat rumah ini.

Keindahan Senibina Rumah Melayu Di Kampong Morten, Melaka

Tetamu Villa Sentosa begitu pelbagai datangnya, seperti pembesar negara termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang dipertuaan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong ke 11, DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam serta pembesar negara lain, pelancong asing, pelajar IPT dan pelancong tempatan. Bahagian dalam rumah ini masih lagi mengekalkan susun atur yang sama seperti susun letak asalnya, malah turut mempamerkan peralatan lama, gambar-gambar kenangan, salasilah keluarga dan barang-barang peribadi.

Haji Ibrahim dengan senang hati menerima tetamu, memberi penerangan dan menunjukkan ke seluruh kawasan rumah. Berdasarkan kesungguhannya menjaga, mengekalkan dan menceritakan semua pengalaman tentang rumah dan perkampungan ini, jelas kelihatan kecintaan yang tinggi terhadap warisan keluarganya. Setiap penerangan yang diberikan kepada pelawat begitu terperinci, bersulam perasaan gembira berkongsi warisan keluarga beliau. Beliau juga kelihatan sangat ceria menyambut kedatangan tetamu ke kediaman ini.


Kampung Morten kini menjadi tumpuan pelancong, bukan sahaja menyediakan pengalaman menarik meneroka kampung tradisional malah turut menyediakan inap desa (homestay) dan rumah penginapan pada harga yang sangat berpatutan untuk disewa. Salah satunya Villa Meriah, Kampung Morten yang menyediakan rumah yang cantik dan bilik penginapan yang selesa. Selain Villa Meriah, terdapat juga Homestay Juriah, C-Mah Homestay, Homestay Tun Mamat dan Village Stay.

Jadi jika ingin merasai pengalaman tinggal di kampung tradisi yang damai, maka Kampung Morten wajar dipertimbangkan.

Keindahan Kampung Morten Pada Malam hari dari Melaka River Cruise

Leave a comment