Nama Anda Menjadi Daya Tarik ke Web Lucah?

Pernah tak anda mencari nama anda sendiri di alam maya? Berapa banyak yang anda jumpa?
Saya merupakan antara orang yang sangat berhati-hati meninggalkan nama di alam maya. Profesyen saya yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam memerlukan saya menjaga nama baik sendiri dan nama baik JPA serta profesyen yang saya pegang. Jadinya, saya perlu pastikan nama saya bersih daripada sesuatu yang bersifat tidak profesional.
Amat sukar untuk menjaga nama baik sendiri dan institusi pada zaman dunia tanpa sempadan seperti sekarang. Ketika maklumat boleh dicapai di hujung jari, saya masih lagi perlu membataskan semua maklumat tentang diri sendiri agar tidak disalahgunakan oleh orang yang berkepentingan. Pada ketika Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai jaringan rakan sosialnya di alam maya, saya masih juga belum mendaftar Facebook hanya kerana tidak mahu begitu terdedah dengan unsur negatif berkenaan. Ada ketikanya, saya terlihat bagaikan fobia dengan dunia tanpa sempadan, namun saya mempunyai sebab yang tersendiri.

Dalam setahun, saya akan menyemak nama sendiri di alam maya beberapa kali. Kenapa? Perasan popular? Tidak. Saya tidak sukakan populariti. Jika saya mahu popular, sudah tentu saya akan menjadi artis, bukannya kerja di Jabatan perkhidmatan Awam sebegini. Jadinya, untuk apa saya menyemak nama sendiri di dunia maya?
Pertamanya, untuk melihat berapa banyak tentang saya diperkatakan di dunia maya. Sudah tentu saya mahukan sesuatu yang baik sahaja agar reputasi saya sentiasa terjaga. Kedua, adakah hasil kerja saya diterbit seperti sepatutnya dan mudah dicapai secara online. Maksudnya, adakah tulisan saya atau semua kegiatan yang saya sertai dan lakukan seperti penyelidikan, pembentangan kertas kerja atau artikel saya telah disiarkan di merata tempat secara maya. Dah tentu semua ini sangat penting kerana ia akan menyerlahkan kepakaran saya kepada umum. Semakin banyak nama saya disebut, karya dan tulisan saya diterbitkan secara maya atau bercetak, serta semakin tinggi capaian terhadapnya akan mengukuhkan nama saya dalam bidang berkenaan.

Ketiga, adakah terdapat tulisan tertentu yang memburukkan nama saya? Ini sangat penting kerana saya perlu menjaga nama baik sendiri dan institusi tempat saya berkerja. Hal-hal buruk yang ditulis tentang saya boleh menyebabkan nama baik saya tercalar. Ini juga boleh menyebabkan masyarakat umum memandang rendah terhadap saya.
Beberapa bulan lepas (lebih tepatnya pada bulan Ogos), saya telah lakukan semakan secara maya ini. Seperti biasa, saya akan ke Google Search dan taipkan nama sendiri. Sekiranya saya taip “maharam”, saya dapati nama saya itu sangat besar kerana mewakili sebuah syarikat tekstail terbesar di Eporah dan AMerika Syarikat dengan beribu cawangan seluruh dunia. Kalau tidak percaya, cubalah ke http://www.maharam.com . Wah! Bangga pun ada…kalaulah saya tempah awal-awal laman web menggunakan nama itu, dah pasti mereka akan cuba beli. Bayangkan berapa banyak saya boleh letak harga hanya kerana alamat laman web (berangan sekejab).

Apabila saya taip “Maharam Mamat”, barulah saya yang sebenarnya. Mungkin hanya saya seorang sahaja ada nama sebegitu. Jadinya lebih mudah untuk mengesan nama sendiri di dunia maya apabila mempunyai nama yang pelik dan istimewa sebegini. Hanya saya seorang sahaja memiliki nama “Maharam Mamat” setakat ini. Esok lusa belum tentu lagi.
Namun, saya sangat terkejut bercampur malu apabila saya dapati nama saya sudah dicemari. Tiba-tiba sahaja saya menemukan nama “Maharam Mamat” itu telah digunakan secara berleluasa di satu laman web pornografi (sedap je istilah pornografi ini didengari berbanding kata “lucah”). Nak lihat buktinya?

Apa perasaan anda apabila nama anda tiba-tiba digunakan sebagai SEO untuk menarik pengunjung mengunjungi laman web yang sebegitu? BANGGA? Kalau laman web berkenaan adalah laman web berbentuk keagamaan atau info tentang hal-hal ilmiah, saya masih mampu lagi menerima. Pertama kali memandangnya, saya rasa pelik. “Maharam Mamat” itu popular sangatkah sehingga digunakan pihak begini untuk menarik trafik? Agaknya lebih popular dari Lisa Surihani tak? Lebih popular dari Aizat atau Dafi tak? Saya tak mampu untuk menjawabnya.

Bila berlaku sebegini, apa yang patut dibuat?
Saya sering menulis dan memberitahu pelajar tentang kod etika penulisan (Sila baca Etika dalam Penulisan untuk lebih faham), iaitu menulis hal-hal yang beretika sahaja secara maya kerana, walaupun menulis secara maya, kita masih lagi perlu menjaga susila dan perlu mematuhi undang-undang (Rujuk semula Undang-Undang dalam Penulisan). Kita boleh didakwa mengikut akta tertentu sekiranya penulisan kita melanggar batasan, apalagi jika berlaku Salah Laku Moral di Internet. Jadinya, apabila berlaku kepada diri saya sendiri, apa yang perlu dilakukan?

Pertamanya, saya print skrin buktinya sebelum hilang seperti yang anda dapat lihat di atas. Di dunia maya, banyak perkara boleh muncul dan hilang secara tiba-tiba, jadi saya perlu ketengahkan bukti dengan setiap dakwaan atau “kata-kata” saya nanti. Seterusnya, rujuk dengan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) kerana badan ini bertanggungjawab menangani banyak perkara berkaitan dunia siber, komunikasi dan multimedia. Anda boleh ke laman web suruhanjaya ini di http://www.skmm.gov.my
Setelah itu, saya kemukakan email kepada bahagian aduan SKMM di aduanskmm@cmc.gov.my. Email aduan berkenaan adalah seperti berikut;

From: maharam@ukm.my [mailto:maharam@ukm.my]
Sent: Mon 8/23/2010 8:30 PM
To: Aduan SKMM; maharam@ukm.my
Subject: Aduan dan pertanyaan: nama disalahguna pihak tidakbertanggungjawab

Assalamualaikum, Salam sejahtera dan Selamat berpuasa,

Tuan,

Saya adalah seorang penyarah di UKM. Semasa google nama saya di internet, saya telah menemui satu laman web berunsur lucah yang menggunakan nama saya sebagai salah satu cara untuk “menarik” trafik ke laman web berkenaan. Laman web berkenaan boleh dilayari di http://www.republicnews.info/episode/meyis++novel+lucah+kama+asmara
Saya juga ada sertakan salinan paparan hadapan laman web berkenaan dalam attachment.
Sebagai seorang penjawat awam, hal ini memang sangat tidak wajar, memalukan dan menjatuhkan kredibiliti saya yang selama ini dikagumi para pelajar. Ini juga mencemarkan nama saya yang selama ini menulis tentang hal-hal berkaitan cara penulisan yang beretika.
Saya ingin memohon nasihat dan panduan yang perlu saya lakukan bagi menangani isu ini.
Dengan perhatian dan kerjasama yang telah diberikan, saya dahului dengan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

Maharam Mamat

(alamat lengkap terpaksa saya padamkan atas sebab keselamatan)

Kepada anda yang ingin terjah laman web tersebut, sila batalkan sahaja niat asal itu kerana laman web berkenaan telahpun dihapuskan. Bukankah dunia maya itu ada banyak kejutan? Munculnya pun boleh secara mendadak, hilangpun juga boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Pihak SKMM membalas email saya itu dalam masa yang sangat cepat. Keesokan harinya, saya menerima email balasan seperti berikut;

Date: Tue, 24 Aug 2010 17:16:26 +0800 [08/24/2010 05:16:26 PM MYT]
From: Siti Khadijah Hasnan (CCB)

To: maharam@ukm.my

Cc: Aduan SKMM

Subject: 0574/08/10: Aduan dan pertanyaan: nama disalahguna pihak tidakbertanggungjawab
Part(s): 2 mangsa siber1.JPG
219 KB

Download All Attachments (in .zip file)

No. Aduan SKMM : 0574/08/10

Tuan,

Terima kasih di atas aduan/maklumbalas anda kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pihak SKMM akan mengkaji aduan yang dikemukakan dan akan mengambil tindakan sepertimana yang dibenarkan di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pihak SKMM amat menghargai sebarang aduan/maklumbalas mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Sekian terima kasih.

Yang Benar,

SITI KHADIJAH HASNAN
Biro Aduan Pengguna SKMM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
63000 Cyberjaya
Selangor

Aduan Melalui Internet : http://aduan.skmm.gov.my
Talian Aduan : 1800 888 030 (8:30 pg – 5:30 ptg, Isnin -Jumaat)
Faks : 603 8688 1880
Emel : aduanskmm@cmc.gov.my
Laman Web : http://www.skmm.gov.my

Pada masa tersebut, saya tidak melihat apa-apa perubahan dalam laman sawang berkenaan, bagaikan pihak SKMM tidak berbuat apa-apa. Saya mengakui yang saya agak kecewa juga saat itu, namun apabila memikirkan pihak SKMM mengambil masa yang sangat pantas melayan aduan saya, saya pujuk hati sendiri agar lebih banyak bersabar.
Beberapa hari kemudian, saya dapati yang nama saya sudah tidak ada lagi dalam laman web lucah tersebut seperti yang anda sendiri boleh lihat di bawah;

Hati saya sangat lega, namun sedikit terkilan. Saya tertanya-tanya, adakah SKMM hanya mampu padamkan nama saya sahaja sedangkan laman web berkenaan masih lagi aktif. Bukankah laman sawang berkenaan adalah laman yang tidak bermoral? Mengapa SKMM tidak mengambil inisatif yang lebih untuk menyekat laman web ini dari dilayari? Kesibukan menjalankan tugas harian menyebabkan saya bertangguh untuk menghantar email baru ke SKMM bertanyakan persoalan tersebut. Namun, apabila saya ke laman sawang tersebut semula lebih kurang dua bulan kemudian, saya dapati laman web tersebut sudah tidak ada lagi dan tidak boleh dicapai.

Secara pribadi, saya sangat berterima kasih dengan SKMM yang telah membantu membersihkan nama saya walaupun secara maya. Sekiranya anda juga berhadapan atau menghadapi situasi yang sama seperti saya, silalah hubungi pihak SKMM untuk mendapatkan bantuan.
Semoga pengalaman saya ini memberi pengajaran kepada anda terutama mereka yang suka mendedahkan terlalu banyak maklumat pribadi secara maya. Salah satu daripada impak negatif yang bakal diterima adalah seperti apa yang saya alami itu; sekadar menggunakan nama anda. Namun, ramai juga yang terpaksa menanggung kesan yang lebih besar dari itu seperti gangguan seksual, kehilangan wang tunai, disalahgunakan identiti untuk tujuan jenayah dan sebagainya. Jadi, berhati-hatilah.

Saya tahu entri ini sangat panjang, tanpa mengandungi gambar-gambar yang boleh cuci mata anda. Tahniah kepada anda yang berjaya Qatamkan hingga nokhtah terakhir.

4 thoughts on “Nama Anda Menjadi Daya Tarik ke Web Lucah?

  1. assalamualaikum. ^__^saya sendiri selalu search nickname sendiri di Google. Sampai sekarang nothing happen menyatakan saya memang tak popular. Haha ;Dbtw, memang betul kita kena hati-hati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s